Menjana peribadi ke arah SIFAR maksiat
Showing posts with label cinta dan perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label cinta dan perkahwinan. Show all posts

08 January 2008

Walimatul urus bukan pesta!

Ditulis oleh Idris Musa (harian metro) ~ semoga memberi manfaat kepada semua.. ~

Majlis berkat jika patuhi syariatBAGI setiap pasangan yang diijab kabul, mereka diraikan dalam majlis kenduri kahwin atau disebut walimatul urus kerana melalui majlis inilah perkahwinan pasangan terbabit diketahui ramai pihak, sekali gus mengelak prasangka buruk terhadap mereka.

Majlis kenduri kahwin dianjurkan agama dan hukumnya sunat. Justeru, sesuailah dengan amalan yang dilakukan masyarakat hari ini, apabila ada perkahwinan diadakan majlis kenduri dengan dijemput orang ramai menghadirinya. Dari Anas bin Malik r.a menyebut Rasulullah s.a.w melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: “Wahai Rasulullah aku sudah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas.” Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.” (Muttafaqun alaih)

Tetapi dalam situasi kebelakangan ini, sesetengah majlis kenduri kahwin seolah-olah menjadi arena untuk menunjuk-nunjuk dan bersuka ria, diadakan besar-besaran di hotel mewah, membabitkan tetamu istimewa saja dan bercampur dengan unsur maksiat. Apakah ini bentuk walimatul urus dalam Islam?

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata umat Islam sepatutnya bersederhana apabila mengadakan majlis itu, sesuai dengan nasihat Rasulullah s.a.w kepada umatnya supaya bersederhana dalam semua perkara.Amalan sederhana itu katanya, bertujuan mengelak pembaziran dan unsur maksiat dalam majlis kenduri berkenaan.

Gesaan bersederhana ini sesuai dengan ayat 26 surah al-Isra' bermaksud: “Berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin dan orang musafir hak masing-masing dan janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros.”

Menurutnya, majlis kenduri terbabit boleh menjadi majlis yang diberkati jika bertepatan dengan anjuran Islam, tetapi sebaliknya menjadi majlis terkutuk apabila bercampur aduk dengan maksiat.

"Bagi memastikan walimah yang diberkati Allah, pertama, kena menggunakan sumber rezeki yang halal, iaitu wang yang digunakan untuk majlis terbabit tidak diperoleh melalui cara haram.

"Majlis yang diadakan itu juga perlu jauh daripada unsur riak iaitu menunjuk-nunjuk dan bertujuan berbangga-bangga dengannya,” katanya.Mohd Rani menegaskan, walimah urus bukanlah suatu majlis untuk berpesta dan bersukaria tidak menentu, malah ia adalah satu bentuk ibadat diperintah Allah yang perlu diadakan sebaik mungkin mengikut anjuran agama.

“Elak daripada bercampur dengan unsur yang diharamkan, tidak melalaikan, tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, tiada lagu yang melalaikan dan benda lain yang tidak baik.

“Ulama besar yang warak dulu tidak menghadiri majlis kenduri apabila ada bunyi gong atau gendang, kerana mereka tidak mahu dilalaikan benda seperti itu,” katanya.Beliau menjelaskan, apabila mengadakan majlis kenduri kahwint jangan sampai berhutang sebaliknya buat mengikut kemampuan.

“Tetapi bagi orang berada, tiada masalah untuk mengadakan walimah besar-besaran dengan syarat menepati dengan anjuran Islam, menjemput semua orang termasuk orang miskin supaya matlamat walimah tercapai, memupuk persefahaman dan perkenalan,” katanya.

Mohd Rani berkata, masyarakat juga perlu mengelak daripada menjadikan walimatul urus seolah-olah satu bentuk komersial dengan menetapkan bayaran tertentu apabila mahu menghadirinya.“Majlis ini perlu dilakukan dengan ikhlas. Tetamu juga perlu ikhlas dan apabila ada sumbangan atau hadiah kepada pasangan pengantin terbabit hulurkan dengan niat sedekah sebagai satu ibadat.

“Orang dulu membantu pihak yang mengadakan walimah dengan membawa sedikit bahan makanan seperti gula,” katanya sambil mengingatkan pihak yang mengadakan walimah supaya tidak memaksa atau memandang sinis kepada tetamu yang tidak menghulurkan sumbangan.

Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian adalah menyusahkan tetamu terutama golongan miskin, malah berlawanan dengan roh Islam.

Sementara itu, menurut Datuk Daud Che Ngah, sesetengah majlis kenduri kahwin kini tidak menepati anjuran agama kerana majlis dihadiri golongan tertentu saja iaitu orang kaya sesama orang kaya, manakala yang miskin diabaikan malah program kebaratan.“Orang yang mengadakan kenduri dengan menjemput orang kaya saja manakala orang miskin tidak dijemput, kenduri itu kenduri terburuk.

“Jika panggil orang besar, hebat, saya ingat orang itu saja yang tahu, orang kampung tidak tahu. Ramai yang mengadakan kenduri perkahwinan kerana bangga dan riak (menunjuk-nunjuk),” katanya.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang.” (Muslim) Katanya, dalam perkahwinan boleh mengadakan kenduri tetapi jangan terlalu mewah, bercampur maksiat dan terdedah aurat.

usah membujang

(Oleh Idris Musa,harian metro) ~ menarik juga untuk di baca dan dijadikn renungan bersama =)



"Kahwin penyubur rezeki FITRAH kehidupan, daripada alam tumbuhan dan haiwan, malah manusia sejak zaman Nabi Adam, diciptakan berpasangan, ada lelaki dan perempuan supaya dapat mengembangkan zuriat bagi meneruskan kelangsungan hidup. "




Manusia sebagai pentadbir atau khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini perlu mengembangkan keturunan, justeru mereka dikurniakan kecenderungan berkahwin dan beranak-pinak.Hidup berpasangan melalui perkahwinan bukan menjadi amalan bagi sesetengah masyarakat tetapi semuanya menerima pakai sistem itu tanpa mengira pangkat, suku kaum dan agama. Cuma yang membezakan adalah caranya.



Tetapi dalam dunia siber hari ini, ada lebih selesa hidup bersendirian sama ada lelaki atau perempuan tanpa mahu memikirkan soal perkahwinan.Bagi golongan ini, gaya hidup bujang lebih selesa dan menjamin masa depan. Mereka bebas bergerak, tiada halangan ke mana-mana dan terlepas daripada tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Bagi sesetengah perempuan, perkahwinan dikatakan mendatangkan kesusahan apatah lagi memikirkan jika mendapat suami yang panas baran, kaki judi, pemabuk atau penagih dadah.Cerita negatif yang didengar dan disaksikan melalui filem dan drama menyebabkan mereka lebih suka gaya hidup bujang, malah ada yang tidak berminat mendapatkan pasangan hidup. Tetapi apa kata Islam?“Pada dasarnya Islam mahu umatnya berkahwin. Walaupun perintah kahwin yang diturunkan Allah asalnya harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib dan sunat.“Malah, ia juga boleh menjadi makruh dan haram ,” kata penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar.Menurutnya, agama menghukumkan wajib berkahwin sama ada lelaki atau perempuan apabila seseorang itu tidak mampu mengawal diri daripada fitnah berpunca dari mata, hati dan nafsu syahwat.Hukum sunat kepada individu yang masih dapat mengawal diri, manakala makruh adalah ke atas mereka yang belum bersedia menghadapi gerbang perkahwinan.Keharusan berkahwin boleh menjadi haram jika individu terbabit menghidap penyakit tertentu seperti HIV dan siflis, kerana memberi risiko kepada zuriat dan isteri.Mohd Rani berkata, mereka yang tergolong wajib atau sunat berkahwin perlu menyegerakan perkahwinan kerana jika tidak berbuat demikian boleh menyebabkan timbulnya kemungkaran dan berdosa.“Jika jatuh hukum wajib atau sunat kena berkahwinlah. Tidak berkahwin akan menyebabkan dosa kerana walaupun tidak berzina tetapi mata yang tidak boleh dikawal sudah mendapat dosa,” katanya.Beliau berkata, apabila seseorang itu boleh hidup berdikari, tamat persekolahan dan tahu memikul tanggungjawab, mereka patut berumah tangga.Tetapi, bagi mereka yang masih belajar di kolej atau institusi pengajian tinggi, tumpukan perhatian kepada ilmu. “Masalah sekarang, sesetengah orang berfikir perkahwinan itu menyusahkan dan satu masalah. Bagi golongan ini, mereka tidak yakin dengan rezeki daripada Allah.“Zaman Nabi Muhammad s.a.w dulu pun ada yang tidak mahu berkahwin kerana mahu memberikan tumpuan kepada ibadat tetapi, Nabi melarang dan mengatakan kepada orang terbabit,“aku beribadat dan aku juga berkahwin”.“Nabi menggalakkan umatnya berkahwin kerana dapat mengembangkan zuriat, malah baginda akan berbangga dengan umat yang ramai. “Berkahwin bukan alasan menjadi susah sebaliknya rezeki lebih murah.“Banyak contoh orang lama yang berjaya hidup mereka walaupun peringkat awalnya susah. Jika tidak berkahwin lagi menyusahkan, bermacam-macam akibat di depan,” katanya.Menurutnya, Islam agama terbaik, tiada halangan dalam soal perkahwinan seperti sesetengah ideologi lain yang melarang penganutnya berkahwin.Justeru, beliau menasihatkan orang Islam khususnya muda-mudi memanfaatkan kelapangan dan keistimewaan yang diberikan di dalam Islam ini. Banyak kebaikan diperoleh melalui perkahwinan. Selain mengembangkan keturunan, memelihara kesucian diri, memelihara pandangan dan kemaluan, paling penting memberikan ketenangan, kelapangan dan hidup dihiasi kemesraan.Ini sebagaimana dijelaskan dalam ayat 189, surah al-A'raf, bermaksud: “Dialah yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan daripadanya pasangannya (isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra. Ketika dicampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Maka ketika ia rasa berat berdoalah kedua-duanya kepada Tuhan: Sesungguhnya jika Engkau kurniakan kami anak yang baik, tentulah kami menjadi dari orang yang bersyukur.”

30 December 2007

Budaya Bercouple..




BERCOUPLE, setiap kali kita mendengarnya akan terlintas di benak kita sepasang insan yang sedang mabuk cinta dan dilanda asmara . Saling mengungkapkan rasa sayang serta rindu, yang kemudiannya memasuki alam pernikahan. Apa yang menjadi masalahnya sekarang? Bukankah cinta itu fitrah setiap anak adam? Bukankah setiap orang memerlukan masa penyesuaian sebelum pernikahan?

CINTA, FITRAH SETIAP MANUSIA

MANUSIA diciptakan oleh ALLAH SWT dengan membawa fitrah (insting) untuk mencintai lawan jenisnya. Sebagaimana firman-NYA; Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi ALLAH lah tempat kembali yang baik (Syurga). (Ali Imran: 14).



Berkata Imam Qurthubi: ALLAH SWT memulai dengan wanita kerana kebanyakan manusiamenginginkannya, juga kerana mereka merupakan jerat-jerat syaitan yang menjadi fitnah bagi kaum lelaki, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Tiadalah aku tinggalkan setelahku selain fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada wanita. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah)



Oleh kerana cinta merupakan fitrah manusia, maka ALLAH SWT menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan nikmat yang dijanjikan bagi orang-orang beriman di syurga dengan bidadarinya.



Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata; Rasulullah SAW bersabda; Dunia ini adalahperhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. (Hadis Riwayat Muslim, NasaI, Ibnu Majah, Ahmad, Baihaqi)



ALLAH berfirman; Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik. (ar-Rahman: 70)



Namun, Islam tidak membiarkan fitnah itu mengembara tanpa batasannya. Islam telahmengatur dengan tegas bagaimana menyalurkan cinta, juga bagaimana batasan pergaulan antara dua insan berlawanan jenis sebelum nikah, agar semuanya tetap berada pada landasan etika dan norma yang sesuai dengan syariat.

ETIKA PERGAULAN DAN BATAS PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN WANITA MENURUT ISLAM
1.Menundukkan pandangan: ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman- NYA; Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 30) Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 31)

2.Menutup Aurat; ALLAH berfirman dan jangan lah mereka mennampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (an-Nuur:31) Juga Firman-NYA; Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (an-Nuur: 59).

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis. Dari Abu Daud Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3. Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita; Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-NYA; Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab. (al-Ahzaab: 53)

4.Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan; Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalianberdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5.Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan) : Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (al-Ahzaab: 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)



6.Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis; Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir). Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. (Ash-Shohihah 1/448) Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aishah berkata; Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat. (Hadis Riwayat Bukhari)



Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud)

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman-NYA; Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. (al-Isra:32)


HUKUM BERCOUPLE
SETELAH memerhatikan ayat dan hadis tadi, maka tidak diragukan lagi bahawa bercouple itu haram, kerana beberapa sebab berikut:
1.Orang yang bercouple tidak mungkin menundukkan pandangannya terhadap kekasihnya.



2.Orang yang bercouple tidak akan boleh menjaga hijab.



3.Orang yang bercouple biasanya sering berdua-duaan dengan pasangan kekasihnya, baik di dalam rumah atau di luar rumah.



4.Wanita akan bersikap manja dan mendayukan suaranya saat bersama kekasihnya.




5.Bercouple dengan saling menyentuh antara lelaki dan wanita, meskipun itu hanya
berjabat tangan.



6.Orang yang bercouple, boleh dipastikan selalu membayangkan orang yang dicintainya.Dalam kamus bercouple, hal-hal tersebut adalah lumrah dilakukan, padahal satu hal saja cukup untuk mengharamkannya, lalu apatah lagi kesemuanya atau yang lain-lainnya lagi?

FATWA ULAMA
Syaikh Muhammad bin Shaleh al-Utsaimin ditanya tentang hubungan cinta sebelum nikah.Jawab beliau; Jika hubungan itu sebelum nikah, baik sudah lamaran atau belum, maka hukumnya adalah haram, kerana tidak boleh seseorang untuk bersenang-senang dengan wanita asing (bukan mahramnya) baik melalui ucapan, memandang, atau berdua-duaan. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki bedua-duaan dengan seorang wanita kecuali ada bersama-sama mahramnya, dan janganlah seseorang wanita berpergian kecuali bersama mahramnya.



Syaikh Abdullah bin abdur Rahman al-Jibrin ditanya; Jika ada seseorang lelaki yang berkoresponden dengan seorang wanita yang bukan mahramnya, yang pada akhirnya mereka saling mencintai, apakah perbuatan itu haram?
Jawab beliau; Perbuatan itu tidak diperbolehkan, kerana boleh menimbulkan syahwat di antara keduanya, serta mendorongnya untuk bertemu dan berhubungan, yang mana koresponden semacam itu banyak menimbulkan fitnah dan menanamkan dalam hati seseorang untuk mencintai penzinaan yang akan menjerumuskan seseorang pada perbuatan yang keji, maka dinasihati kepada setiap orang yang menginginkan kebaikan bagi dirinya untuk menghindari surat-suratan, pembicaraan melalui telefon, serta perbuatan semacamnya demi menjaga agama dan kehormatan dirinya.

Syaikh Jibrin juga ditanya; Apa hukumnya kalau ada seorang pemuda yang belum menikah menelefon gadis yang juga belum menikah?
Jawab beliau; Tidak boleh berbicara dengan wanita asing (bukan mahram) dengan pembicaraan yang boleh menimbulkan syahwat, seperti rayuan, atau mendayukan suara (baik melalui telefon atau lainnya). Sebagaimana firman ALLAH SWT; Dan janganlah kalian melembutkan suara, sehingga berkeinginan orang-orang yang berpenyakit di dalam hatinya. (al-Ahzaab: 32). Adapun kalau pembicaraan itu untuk sebuah keperluan, maka hal itu tidak mengapa apabila selamat daripada fitnah, akan tetapi hanya sekadar keperluan.

SYUBHAT DAN JAWAPAN YANG SEBENARNYA
Keharaman bercouple lebih jelas dari matahari di siang hari. Namun begitu masih ada yangberusaha menolaknya walaupun dengan dalil yang sangat rapuh, antaranya:



1] Tidak Boleh dikatakan semua cara bercouple itu haram, kerana mungkin ada orang yang bercouple mengikut landasan Islam, tanpa melanggar syariat.
Jawabnya: Istilah bercouple berlandaskan Islam itu cuma ada dalam khayalan, dan tidak pernah ada wujudnya. Anggap sajalah mereka boleh menghindari khalwat, menyentuh serta menutup aurat. Tetapi tetap tidak akan boleh menghindari dari saling memandang, atau saling membayangkan kekasihnya dari masa ke semasa. Yang mana hal itu jelas haram berdasarkan dalil yang kukuh.



2] Biasanya sebelum memasuki alam perkahwinan, perlu untuk mengenal terlebih dahulu calon pasangan hidupnya, fizikal, karaktor, yang mana hal itu tidak akan boleh dilakukan tanpa bercouple, kerana bagaimanapun juga kegagalan sebelum menikah akan jauh lebih ringan daripada kalau terjadi setelah menikah.
Jawabnya: Memang, mengenal fizikal dan karaktor calon isteri mahupun suami merupakan satu hal yang diperlukan sebelum memasuki alam pernikahan, agar tidak ada penyesalan di kemudian hari. Namun, tujuan ini tidak boleh digunakan untuk menghalalkan sesuatu yang telah sedia haramnya. Ditambah lagi, bahawa orang yang sedang jatuh cinta akan berusaha bertanyakan segala yang baik dengan menutupi kekurangannya di hadapan kekasihnya. Juga orang yang sedang jatuh cinta akan menjadi buta dan tuli terhadap perbuatan kekasihnya, sehingga akan melihat semua yang dilakukannya adalah kebaikan tanpa cacat. Sebagaimana diriwayatkan dari Abu Darda; Cintamu pada sesuatu membuatmu buta dan tuli.

FENOMENA COUPLE
Dalam situasi terkini, fenomena pergaulan bebas dan pengabaian terhadap nilai-nilai murni Islam berlaku pada tahap yang amat membimbangkan. Kebanyakan umat Islam kini tidak lagi menitik beratkan nilai-nilai dan adab-adab sopan yang dianjurkan oleh Islam melalui al-Quran dan sunnah rasul-NYA. Mereka bukan setakat mengabaikannya dan menganggap perkara itu tidak penting, bahkan mereka menganggapkannya sebagai satu perkara yang menyusahkan aktiviti mereka yang menurutkan nafsu dan perasaan semata-mata itu. Nauzubillah
Marilah kita sama-sama menjauhi perkara yang seumpama itu dan mejauhi hal-hal yang telah dilarang (haram). Tegakkanlah yang benar dan katakanlah salah kepada yang batil. Janganlah berhujah untuk membenarkan perkara yang telah terang haramnya di sisi Allah..


Andainya Cinta Itu Hendak Di beri..


Andainya sedikit daripada cinta itu hendak di berikan kepada seseorg yg boleh digelar suami, pilihlah seorg lelaki yg :

1- Kuat Pengamalan Agamanya
Ukuran boleh dibuat apakah dia menjaga solat fardhunya biar sesibuk mana, kerap b`jemaah dan solat pd awal waktu. Ukur juga, apakah dia menjaga auratnya dengan memakai pakaian yg sopan t`utama sewaktu mamat tu b`sukan. Mengutamakan pemuda yg kuat pengamalan agamanya ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w kerana baginda menerima pinangan Sayidina Ali, seorg pemuda paling miskin tetapi paling b`takwa utk menjadi suami anaknya , Siti Fatimah.

2- Baik Akhlaknya
Ketegasannya nyata tetapi sebenarnya dia seorg yg lembut dan mudah b`tolak ansur. Dia b`tutur dgn sopan kerana melambangkan peribadi dan hatinya yg mulia. Rasa hormatnya kpd org tua ketara, dia suka menolong org, pemurah, jujur, ramah mesra dan penyayang.
Rasulullah s.a.w besabda; "Jika (seorang lelaki ) datang ( untuk meminang anak perempuan kamu ) dan kamu berpuas hati dengan agamanya serta akhlaknya, nikahkan dia ( dengan anak perempuan kamu ). Jika hal itu tidak kamu lakukan maka akan menjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang amat luas."


3- Tegas Mempertahankan Maruah
Ukur, apakah dia pernah pergi ke tempat2 yg boleh menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya seperti tempat2 hiburan yang penih maksiat.
Rasulullah s.a.w bersabda; " Barangsiapa yang menikahkan anak permpuannya dengan lelaki fasik ( derhaka ) bererti dia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri."

4- Amanah
Selidiki, apakah dia seorang yang tidak pernah mengabaikan tugas yang di berikan kepadanya atau apakah dia pernah menyalahgunakan kedudukannya.

5- Tidak Boros
Dia bukanlah kedekut, tetapi seseorg yg mahu membelanjakan wangnya dgn bijaksana. Nikmat yg ada padanya seperti kereta, makanan, dan wagn boleh dikongsi sama dgn org2 lain yg berhak.


6- Tidak `Melilau` Matanya
Lelaki calon suami anda itu mestilah seorg yg tdk liar matanya. Perhatikan apakah matanya kerap melilau ke arah perempuan lain yg lalu lalang sewaktu berbicara. Jika begitu, dia seorg yg bermata keranjang dan berbahaya utk disenaraikan sbg calon suami.


7- Terbatas Pergaulan
Dia tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah menjadi fitnah orang.


8- Siapakah Rakan Pergaulannya
Rakan2 pergaulannya adalah sama sepertinya.


9- Bertanggungjawab
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh manakah dia menguntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika dia seorg yg agak berada tetapi keluarganya hidup susah, dia bukanlah seorg yg bertanggungjawab.


10- Tenang Wajah
Apa yg t`simpan dlm sanubari kadang2 terpancar pada air muka. Perhatikan, apakah wajahnya tenang, setenang sewaktu dia b`cakap dan b`tindak. Andainya dia seorg yg kelam – kelibut dia bukanlah calon suami yg anda cari2.


Berbahagialah anda jika diintai calon suami yang demikian sifatnya.. Semoga berbahagia di dunia dan Akhirat…

10 Petanda Dia adalah Jodoh Anda


1. Gunakan seluruh pancaindera
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang maha esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan? Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

2. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

3.Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

4. Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

5. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

6. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

7. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, 'lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10. Mimpi
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya. Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita?