Menjana peribadi ke arah SIFAR maksiat

08 January 2008

Walimatul urus bukan pesta!

Ditulis oleh Idris Musa (harian metro) ~ semoga memberi manfaat kepada semua.. ~

Majlis berkat jika patuhi syariatBAGI setiap pasangan yang diijab kabul, mereka diraikan dalam majlis kenduri kahwin atau disebut walimatul urus kerana melalui majlis inilah perkahwinan pasangan terbabit diketahui ramai pihak, sekali gus mengelak prasangka buruk terhadap mereka.

Majlis kenduri kahwin dianjurkan agama dan hukumnya sunat. Justeru, sesuailah dengan amalan yang dilakukan masyarakat hari ini, apabila ada perkahwinan diadakan majlis kenduri dengan dijemput orang ramai menghadirinya. Dari Anas bin Malik r.a menyebut Rasulullah s.a.w melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: “Wahai Rasulullah aku sudah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas.” Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.” (Muttafaqun alaih)

Tetapi dalam situasi kebelakangan ini, sesetengah majlis kenduri kahwin seolah-olah menjadi arena untuk menunjuk-nunjuk dan bersuka ria, diadakan besar-besaran di hotel mewah, membabitkan tetamu istimewa saja dan bercampur dengan unsur maksiat. Apakah ini bentuk walimatul urus dalam Islam?

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata umat Islam sepatutnya bersederhana apabila mengadakan majlis itu, sesuai dengan nasihat Rasulullah s.a.w kepada umatnya supaya bersederhana dalam semua perkara.Amalan sederhana itu katanya, bertujuan mengelak pembaziran dan unsur maksiat dalam majlis kenduri berkenaan.

Gesaan bersederhana ini sesuai dengan ayat 26 surah al-Isra' bermaksud: “Berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin dan orang musafir hak masing-masing dan janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros.”

Menurutnya, majlis kenduri terbabit boleh menjadi majlis yang diberkati jika bertepatan dengan anjuran Islam, tetapi sebaliknya menjadi majlis terkutuk apabila bercampur aduk dengan maksiat.

"Bagi memastikan walimah yang diberkati Allah, pertama, kena menggunakan sumber rezeki yang halal, iaitu wang yang digunakan untuk majlis terbabit tidak diperoleh melalui cara haram.

"Majlis yang diadakan itu juga perlu jauh daripada unsur riak iaitu menunjuk-nunjuk dan bertujuan berbangga-bangga dengannya,” katanya.Mohd Rani menegaskan, walimah urus bukanlah suatu majlis untuk berpesta dan bersukaria tidak menentu, malah ia adalah satu bentuk ibadat diperintah Allah yang perlu diadakan sebaik mungkin mengikut anjuran agama.

“Elak daripada bercampur dengan unsur yang diharamkan, tidak melalaikan, tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, tiada lagu yang melalaikan dan benda lain yang tidak baik.

“Ulama besar yang warak dulu tidak menghadiri majlis kenduri apabila ada bunyi gong atau gendang, kerana mereka tidak mahu dilalaikan benda seperti itu,” katanya.Beliau menjelaskan, apabila mengadakan majlis kenduri kahwint jangan sampai berhutang sebaliknya buat mengikut kemampuan.

“Tetapi bagi orang berada, tiada masalah untuk mengadakan walimah besar-besaran dengan syarat menepati dengan anjuran Islam, menjemput semua orang termasuk orang miskin supaya matlamat walimah tercapai, memupuk persefahaman dan perkenalan,” katanya.

Mohd Rani berkata, masyarakat juga perlu mengelak daripada menjadikan walimatul urus seolah-olah satu bentuk komersial dengan menetapkan bayaran tertentu apabila mahu menghadirinya.“Majlis ini perlu dilakukan dengan ikhlas. Tetamu juga perlu ikhlas dan apabila ada sumbangan atau hadiah kepada pasangan pengantin terbabit hulurkan dengan niat sedekah sebagai satu ibadat.

“Orang dulu membantu pihak yang mengadakan walimah dengan membawa sedikit bahan makanan seperti gula,” katanya sambil mengingatkan pihak yang mengadakan walimah supaya tidak memaksa atau memandang sinis kepada tetamu yang tidak menghulurkan sumbangan.

Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian adalah menyusahkan tetamu terutama golongan miskin, malah berlawanan dengan roh Islam.

Sementara itu, menurut Datuk Daud Che Ngah, sesetengah majlis kenduri kahwin kini tidak menepati anjuran agama kerana majlis dihadiri golongan tertentu saja iaitu orang kaya sesama orang kaya, manakala yang miskin diabaikan malah program kebaratan.“Orang yang mengadakan kenduri dengan menjemput orang kaya saja manakala orang miskin tidak dijemput, kenduri itu kenduri terburuk.

“Jika panggil orang besar, hebat, saya ingat orang itu saja yang tahu, orang kampung tidak tahu. Ramai yang mengadakan kenduri perkahwinan kerana bangga dan riak (menunjuk-nunjuk),” katanya.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang.” (Muslim) Katanya, dalam perkahwinan boleh mengadakan kenduri tetapi jangan terlalu mewah, bercampur maksiat dan terdedah aurat.

usah membujang

(Oleh Idris Musa,harian metro) ~ menarik juga untuk di baca dan dijadikn renungan bersama =)



"Kahwin penyubur rezeki FITRAH kehidupan, daripada alam tumbuhan dan haiwan, malah manusia sejak zaman Nabi Adam, diciptakan berpasangan, ada lelaki dan perempuan supaya dapat mengembangkan zuriat bagi meneruskan kelangsungan hidup. "




Manusia sebagai pentadbir atau khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini perlu mengembangkan keturunan, justeru mereka dikurniakan kecenderungan berkahwin dan beranak-pinak.Hidup berpasangan melalui perkahwinan bukan menjadi amalan bagi sesetengah masyarakat tetapi semuanya menerima pakai sistem itu tanpa mengira pangkat, suku kaum dan agama. Cuma yang membezakan adalah caranya.



Tetapi dalam dunia siber hari ini, ada lebih selesa hidup bersendirian sama ada lelaki atau perempuan tanpa mahu memikirkan soal perkahwinan.Bagi golongan ini, gaya hidup bujang lebih selesa dan menjamin masa depan. Mereka bebas bergerak, tiada halangan ke mana-mana dan terlepas daripada tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Bagi sesetengah perempuan, perkahwinan dikatakan mendatangkan kesusahan apatah lagi memikirkan jika mendapat suami yang panas baran, kaki judi, pemabuk atau penagih dadah.Cerita negatif yang didengar dan disaksikan melalui filem dan drama menyebabkan mereka lebih suka gaya hidup bujang, malah ada yang tidak berminat mendapatkan pasangan hidup. Tetapi apa kata Islam?“Pada dasarnya Islam mahu umatnya berkahwin. Walaupun perintah kahwin yang diturunkan Allah asalnya harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib dan sunat.“Malah, ia juga boleh menjadi makruh dan haram ,” kata penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar.Menurutnya, agama menghukumkan wajib berkahwin sama ada lelaki atau perempuan apabila seseorang itu tidak mampu mengawal diri daripada fitnah berpunca dari mata, hati dan nafsu syahwat.Hukum sunat kepada individu yang masih dapat mengawal diri, manakala makruh adalah ke atas mereka yang belum bersedia menghadapi gerbang perkahwinan.Keharusan berkahwin boleh menjadi haram jika individu terbabit menghidap penyakit tertentu seperti HIV dan siflis, kerana memberi risiko kepada zuriat dan isteri.Mohd Rani berkata, mereka yang tergolong wajib atau sunat berkahwin perlu menyegerakan perkahwinan kerana jika tidak berbuat demikian boleh menyebabkan timbulnya kemungkaran dan berdosa.“Jika jatuh hukum wajib atau sunat kena berkahwinlah. Tidak berkahwin akan menyebabkan dosa kerana walaupun tidak berzina tetapi mata yang tidak boleh dikawal sudah mendapat dosa,” katanya.Beliau berkata, apabila seseorang itu boleh hidup berdikari, tamat persekolahan dan tahu memikul tanggungjawab, mereka patut berumah tangga.Tetapi, bagi mereka yang masih belajar di kolej atau institusi pengajian tinggi, tumpukan perhatian kepada ilmu. “Masalah sekarang, sesetengah orang berfikir perkahwinan itu menyusahkan dan satu masalah. Bagi golongan ini, mereka tidak yakin dengan rezeki daripada Allah.“Zaman Nabi Muhammad s.a.w dulu pun ada yang tidak mahu berkahwin kerana mahu memberikan tumpuan kepada ibadat tetapi, Nabi melarang dan mengatakan kepada orang terbabit,“aku beribadat dan aku juga berkahwin”.“Nabi menggalakkan umatnya berkahwin kerana dapat mengembangkan zuriat, malah baginda akan berbangga dengan umat yang ramai. “Berkahwin bukan alasan menjadi susah sebaliknya rezeki lebih murah.“Banyak contoh orang lama yang berjaya hidup mereka walaupun peringkat awalnya susah. Jika tidak berkahwin lagi menyusahkan, bermacam-macam akibat di depan,” katanya.Menurutnya, Islam agama terbaik, tiada halangan dalam soal perkahwinan seperti sesetengah ideologi lain yang melarang penganutnya berkahwin.Justeru, beliau menasihatkan orang Islam khususnya muda-mudi memanfaatkan kelapangan dan keistimewaan yang diberikan di dalam Islam ini. Banyak kebaikan diperoleh melalui perkahwinan. Selain mengembangkan keturunan, memelihara kesucian diri, memelihara pandangan dan kemaluan, paling penting memberikan ketenangan, kelapangan dan hidup dihiasi kemesraan.Ini sebagaimana dijelaskan dalam ayat 189, surah al-A'raf, bermaksud: “Dialah yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan daripadanya pasangannya (isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra. Ketika dicampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Maka ketika ia rasa berat berdoalah kedua-duanya kepada Tuhan: Sesungguhnya jika Engkau kurniakan kami anak yang baik, tentulah kami menjadi dari orang yang bersyukur.”

04 January 2008

Renung-renungkan..

Manusia diciptakan mengandungi jasad dan roh. Jasad bermula daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani. Kedua-duanya ini adalah suatu sifat yang rendah. Manakala roh dan jiwa, asalnya daripada ketinggian langit. Ia datang daripada sisi Allah. Lantaran itu, roh sering merindukan kemuliaan dan ketinggian seperti tempat asalnya. Jasad terlalu dimanjakan sehingga terlalu berat untuk berdiri menyahut permintaan rohnya yang rindukan Allah. Ketika diuji, mata boleh menangis tetapi jiwa masih percaya kepada rahmat Allah dan kelembutanNya.. :)